Total Pageviews

Sunday 11 February 2018

Pentadbiran British di Burma dan Kesannya

1.0 PENGENALAN

Tajuk ini membincangkan tentang Myanmar pada zaman penjajahan British dari tahun 1824 hingga 1948 iaitu pada era kemerdekaan Myanmar. Ini mencakupi hubungan awal antara pihak Burma dan British sebelum berlakunya Perang Inggeris –Burma pertama pada 1824-1826 serta sedikit penjelasan mengenai perang tersebut.

Selain itu, tujuan kajian ini adalah untuk menghuraikan dasar-dasar yang diperkenalkan di Myanmar serta kesannya terhadap masyarakat Myanmar dari segi politik, ekonomi dan sosial. Seperti yang kita ketahui bahawa dasar-dasar yang dijalankan oleh British terbahagi kepada dua bahagian iaitu Burma Hilir dan Burma Hulu. Namun, di dalam esei ini hanya menjelaskan secara umum tentang dasar yang dijalankan yang memberikan impak yang positif da negatif kepada masyarakat Burma.
Seterusnya, perbincangan ini memberikan penekanan kepada dasar-dasar British yang dilakukan sejak mereka menguasai Burma Hilir dan Burma Hulu dari segi politik, ekonomi dan sosial serta kesan terhadap masyarakat Burma sehingga membawa kepada gerakan nasiolisme serta kemerdekaan Burma pada 1948. Di dalam penulisan ini, apa yang paling penting adalah analisis secara keseluruhan tentang pendudukan British di Burma. Di dalam analisis ini juga menjelaskan perkara yang tersirat berdasarkan kajian perpustakaan yang dijalankan mengenai polisi British di Burma sehingga menyebabkan kesan yang berpanjangan antara kaum minoriti dan majoriti.

2.0 POLISI PENTADBIRAN BRITISH DI BURMA

2.1 DASAR POLITIK

Setelah kedatangan British ke Burma, negara tersebut telah mengalami perubahan yang drastik terutamanya dalam pentadbiran iaitu bidang politik, ekonomi dan sosial. Kedatangan Pihak British ke Burma telah membawa perubahan yang besar keatas negara Burma dari satu peringkat ke peringkat lain. Hal ini kerana dasar kolonial yang dilaksanakan oleh pihak British ke atas Burma telah menyebabkan istitusi beraja telah berakhir yang menampakkan berakhirnya Dinasti Konbaung. Penghapusan Wangsa Konbaung telah memberi kesan yang besar terhadap sejarah tempatan sehingga dapat memberi kesan kepada sangha terutamanya apabila penjajah enggan mengambil alih tugas sebagai penaung agama yang sebelum ini dipegang oleh raja sehingga sangha akhirnya gagal dikawal oleh kerajaan British.

Sememangnya British sedari awal lagi ingin menguasai keseluruhan Burma demi menjaga kepentingan mereka. Persaingan British antara Perancis dan Itali menyebabkan British bertindak dengan cara menakluki dan sekaligus menguasai keseluruhan Burma. Satu persatu daerah di Burma telah jatuh ke tangan British dan akhirnya pada tahun 1885, British telah berjaya menguasai keseluruhan Burma. Malah sistem Monarki yang diamalkan oleh Ra¬ja, Hlutdaw, Wun dan myothugyi sudah tidak ada lagi. Mereka ini sudah digantikan oleh pegawai-pegawai Ing¬geris. Apabila bermulanya penguasaan British di Burma, orang Burma pula tidak dapat memahami sistem Inggeris. Sebagai akibatnya, kerjasama sangatlah sedikit dan orang Burma pula banyak menimbulkan masalah. Pentadbiran British ke atas Burma boleh kita lihat di mana terdapatnya perbezaan pentadbiran di antara bahagian Burma Hulu dan Burma Hilir.

2.1.1 BURMA SEBAGAI WILAYAH INDIA

Dari segi pentadbiran politik, selepas berjaya dalam perang pertama, British telah menyerapkan pentadbiran wilayah Rakhine dan Tanintharyi seperti strukutur pentadbiran British East India Company dengan menempatkan konsul mereka di Bengal.  Wilayah-wilayah Arakan dan Tenasserim terletak di bawah kekuasaan langsung Gabenor Jeneral di India. Oleh kerana wilayah-wilayah Burma itu dianggap sebagai pos-pos luar India, maka Arakan diletakkan di bawah pentadbiran Chittagong dalam tahun 1828. Kerajaan melantik pegawai-pegawai tadbir yang dilatih berkhidmat di India bertugas di Burma termasuklah pegawai-pegawai dari Pulau Pinang dipinjamkan untuk berkhidmat di Burma. Akibatnya pegawai-pegawai tersebut tidak memahami adat resam, bahasa dan budaya orang Burma.  Sehingga 1921, semua jawatan penting di Burma dikhaskan kepada orang Inggeris. Oleh itu, Kerajaan British telah mengambil orang-orang India menjadi pegawai-pegawai rendah bangsa Burma menentang. Hal ini memandangkan peluang kenaikan pangkat mereka terbantut. Orang Burma tidak ada wakil dalam kerajaan sehingga tahun 1922. Burma yang diletakkan di bawah Leftenan Gabenor dibantu oleh sebuah Majlis Perundangan. Tetapi ahli-ahlinya tidak mewakili kepentingan orang Burma. Corak pentadbiran itu dibuat menurut dasar-dasar Liberal dan amalan-amalan tempatan dipatuhi bila didapati sesuai. A.D. Maingy dikirim ke Tenassarim dalam bulan September pada tahun 1825 dengan perintah mentadbirkan negeri itu menurut dasar-dasar tersebut.
Perkara ini tidaklah mudah dilakukan kerana Maingy menggunakan dasar-dasar Liberal apabila amalan-amalan tempatan tidak dapat ditentukan dan perkara ini berlaku dalam banyak hal. Di bawah pemerintahan Maingy (1825-33) dan Blundell (1833-43) pemerintahan secara langsung seperti di India digunakan. Ekoran daripada itu, Parlimen British meluluskan perlembagaan Dyarchy di Burma. Perlembagaan ini telah dikuatkuasakan pada tahun 1923. Dibawah perlembagaan ini jawatan Leftenan Gabenor dinaikkan kepada Gabenor.

2.1.2 PEMBENTUKAN-PEMBENTUKAN SISTEM PENTADBIRAN BEBAS

Manakala, corak pentadbiran yang dijalankan di Pegu adalah mengikut dasar liberal seperti yang disesuaikan dengan corak-corak tempatan. Bahagian Wilayah di Burma dibahagikan kepada 5 buah daerah dengan setiap daerah dilantik seorang Pesuruhjaya Daerah yang terdiri daripada bangsa Inggeris. Daerah-daerah ini pula dipecahkan kepada bandar-bandar kecil di bawah seorang Pegawai Bandaran (Myo-oks). Setiap bandar dipecahkan menjadi sistem bulatan dengan seorang ketua sebagai penasihat. Corak pentadbiran di Pegu ini adalah mirip dengan corak pentadbiran di India. Hal ini berlaku kerana pegawai-pegawai Inggeris yang bertugas pernah berkhidmat di Benggala dan Madras.
Di Burma Utara pula, ia dibahagikan kepada 14 daerah. Sir Charles Bernard, pesuruhjaya yang pertama mengusulkan supaya pentadbiran awam dan pungutan cukai dijalankan melalui wakil-wakil tempatan dan mengikut peraturan tempatan tetapi Sir Charles Crosthwaite yang menggantikan Sir Charles Bernard lebih suka menjalankan pentadbiran ini mengikut sistem di India. Apabila British berjaya menawan Myanmar Utara, British telah melakukan beberapa perubahan besar dalam sistem pentadbiran tempatan. Perubahan yang paling ketara ialah terhapusnya sistem pemerintahan beraja (monarki). British memberi alasan bahawa tidak ada putera-putera raja yang layak ditabalkan menjadi raja. Selain pemerintahan beraja, sistem tradisional yang lain seperti Myothugyi dan Thaithugyi, Badan Hlutdaw (Majlis Tertinggi Orang-orang Bangsawan) dan Thatnabaing yang terdiri daripada sami-sami Buddha turut dimansuhkan. Kedua-dua badan tersebut merupakan badan penasihat kepada raja.  Keadaan ini memberi kesan terhadap pengaruh sangha kerana Raja merupakan ketua agama ketika itu.
Selain itu, sebahagian daripada Hlutdaw telah dilantik oleh British sebagai pegawai kerajaan yang bergaji tetap. Oleh sebab kebanyakan pegawai-pegawai dilantik oleh British, maka ini menyebabkan mereka tidak mendapat penghormatan dan kerjasama dari rakyat tempatan. Pemansuhan Thainabaing yang mempunyai pengaruh kuat terhadap raja telah dilakukan. Orang-orang Myanmar mendesak agar sistem Thainabaing dikekalkan tetapi ditolak oleh British. Sir Charles Crosthwaite telah mebuat rancangan untuk menjadikan kampung-kampung sebagai unit pentadbiran dan dengan demikian kesalahan jenayah dapat dipertanggungjawabkan kepada lingkungan kawasan itu. Perlaksanaan Majlis Kampung dikuatkuasakan berdasarkan kepada Undang-undang Kampung Myanmar 1889. Berdasarkan undang-undang ini seorang ketua kampung dilantik dan secara tidak langsung juga bertugas sebagai pegawai kerajaan. Keamanan dan kutipan cukai adalah di bawah tanggungjawab ketua dan Majlis Kampung sendiri.
Penubuhan Dewan Perundangan memperlihatkan Penglibatan mereka dalam pentadbiran benar-banar aktif pada tahun 1897 apabila jawatan Ketua Pesuruhjaya telah dinaikkan menjadi Leftenan Gabenor. Major Arthur Phayre, Gabenor Myanmar yang pertama, dibantu oleh Dewan Perundangan yang mengandungi 9 orang anggota yang dilantik. Pada tahun 1909, jumlah anggota dewan telah ditambah menjadi 15 orang. Pada tahun 1920, anggota dewan ditambah menjadi 30 orang. Golongan pedagang mempunyai wakil paling ramai. Beberapa orang Myanmar juga dipilih untuk menjadi anggota dewan ini.  Keadaan ini memperlihatkan monopoli pedagang bukan sahaja dari segi ekonomi malahan penguasaan terhadap pentadbiran dengan kebanyakan mereka mempunyai wakil yang paling tinggi di Parlimen.

2.1.3 PENGENALAN AKTA KAMPUNG 1887

British telah memperkenalkan Akta Kampung 1887 yang dibuat oleh Crosthwaite pada 28 Oktober 1887. Tujuan Akta Kampung ditubuhkan sebenarnya adalah untuk mengekalkan keamanan dan mengumpulkan hasil cukai yang dikenakan ke atas ketua dan kampung-kampung.   Akta ini juga bertujuan menjadikan  ketua kampung sebagai alat utama untuk menguasai  rakyat dengan memberikan sedikit kuasa dan sokongan  undang-undang kepada ketua kampung. Selain itu, melalui Akta Kampung 1887, British telah memperkenalkan konsep tanggungjawab  kolektif terutamanya  apabila melibatkan pembunuhan pegawai-pegawai British, tanggungjawab penduduk kampung untuk menangkis setiap serangan musuh dan kuasa pegawai daerah memindahkan individu serta  saudara-mara mereka yang dianggap subversif.    Crosthwaite telah mengakui undang-undang seperti Akta Kampung cukup berkesan untuk mengamankan daerah-daerah yang sentiasa bergolak setiap kali berlaku perubahan kerajaan di pusat seperti yang berlaku di Sagaing, Shwebo, Ava dan Hilir Chindwin.

2.1.4 PERLEMBAGAAN DYARCHY

Selain itu juga, perlembagaan Dyarchy (dua pihak yang bebas) yang telah diperkenalkan pada tahun 1921 berikutan bantahan yang keras telah  muncul dengan tiba-tiba di Burma dan perkembangan politik yang telah mengejutkan semua pihak. Semangat kebangsaan Burma telah memuncak dan mereka telah memulaukan serta membuat tuntutan untuk berkerajaan sendiri. Oleh itu, British telah memutuskan untuk meluaskan ke Burma perlembagaan Dyarchy seperti yang telah diperkenalkan ke beberapa wilayah India yang lain oleh Rang Undang-undang Kerajaan India pada tahun 1919. Jawatankuasa Pembaharuan Burma yang dipengerusikan oleh Sir Frederick Whyte telah membuat butir-butir lanjut tentang peraturan baharu. Walaupun terdapat puak-puak pelampau dalam kalangan ahli-ahli politik Burma mencela pemerintahan dua kuasa bebas sebagai tidak mencukupi, namun Burma telah menjadi sebuah wilayah Gabenor pada tahun 1923. 
Namun dalam menubuhkan sebuah wilayah Gabenor tersebut, Negara-negara Syan, Bukit Kerenni dan Tribal telah dikecualikan daripada turut serta. Hal ini dikatakan sebagai langkah pertama untuk menuju ke arah “ Kesedaran kerajaan bertanggungjawab yang progresif”.  Dalam hal ini Majlis Mesyuarat Undangan telah bertambah ahlinya menjadi 103 orang dan di antaranya 79 dipilih mengikut hak mengundi cara demokrasi, 2 orang adalah bekas pegawai dan 22 orang dilantik kerajaan telah ditugaskan kepada gabenor berserta dengan Majlis  Kerja yang terdiri daripada dua orang anggota yang menjaga Perkara-perkara Khas, dan dua orang Menteri yang bertanggungjawab kepada majlis mesyuarat undangan yang menjaga Perkara-perkara Perpindahan. Perkara-perkara Khas yang dimaksudkan ialah hal-hal pertahanan, undang-undang, keamanan dan hasil cukai. Manakala Jabatan yang boleh dipindahkan  ialah Jabatan Pelajaran, kesihatan umum, kehutanan, dan eksais. Hak untuk mengundi juga telah diberikan kepada ketua keluarga tanpa mengira jantina dan 19 tahun sebagai had umur yang paling rendah sekali.

2.2 DASAR EKONOMI

Kedatangan pihak British ke Burma jelas telah membawa perubahan kepada ekonomi Burma yang berlaku akibat dasar kolonial yang diamalkan oleh pihak penjajah British ke atas tanah jajahan mereka terutamanya Burma. Melalui perkembangan ekonomi pelbagai dasar yang telah dilakukan oleh British bagi mengaut keuntungan mereka dalam mengusai ekonomi Burma di mana perkembangan ekonomi Burma di bawah kekuasaan British telah memberi kesan kepada sistem ekonomi tradisi sehingga membawa kepada kemerosotan ekonomi tradisi masyarakat Burma. Dasar ekonomi semasa pemerintahan British di Myanmar adalah berasaskan penanaman padi, eksplotasi balak dan logam sehingga menyebabkan Myanmar terlalu bergantung kepada pasaran antarabangsa dari segi eksport dan import.  Melalui hasil pertanian, balak dan logam, Myanmar dihubungkan dengan ekonomi empayar British dan rakan niaga utamanya yang terdiri daripada India, Tanah Melayu (Negeri-Negeri Selat) dan Britain.

2.2.1 DASAR EKONOMI BEBAS

Sistem ekonomi yang diperkenalkan oleh pihak British Di Myanmar adalah dasar ekonomi byang merupakan satu dasar kolonialnya ke atas Myanmar. Dasar ekonomi bebas yang diperkenalkan oleh British dikuasai oleh kepentingan asing seperti syarikat-syarikat besar British dan juga orang India.  Contoh dalam sektor industri minyak tiga syarikat eropah iaitu Burmah Oil,British Burma Petroluem dan Burma Shell telah memonopoli hampir 98 Peratus pengeluaran minyak yang berpusat di Yenangyang dan Chauk.  Burma Corporation telah mengusai perlombongan terutamanya di Bawdwin yang terletak berhampiran Lashio yang merupakan antara pengeluar terbesar plumbun dan Perak di dunia sementera syarikat-syarikat seperti British-Burma Trading Corporation,Steel Brothers,Foucar,MacGregors dan T.D.Findlay terlibat dalam pelbagai bidang seperti pembalakan,pengilangan padi,ladang getah,kilang simen,kilang tekstil dan kilang penapis minyak. Sektor perbankan pula telah dimonopoli oleh kepentingan British,India dan China seberang laut. Dalam bidang pengangkutan sungai Irrawaddy dimonopoli oleh syarikat Irawaddy Flotilla. Syarikat-syarikat British telah mengusai kegiataan import dan eksport yang menggunakan kapal-kapal British atapun India.
Selain itu dalam sektor pertanian pihak penjajah British telah memberi tumpuan kepada penanaman padi, hal ini kerana tanaman padi dikatakan dapat memperkembangkan ekonomi British di Burma. Semasa pemerintahan British di Burma tanaman padi telah mengusai lebih 70 peratus tanah pertanian dan menjadi hasil utama yang menyumbang kepada kemakmuran ekonomi British.  Kawasan penanaman padi telah diperluaskan dari sekitar 800,000 ekar kepada 6 juta ekar hal  ini menunjukkan populasi meningkat dari 1 juta pada tahun 1885 kepada 4 juta pada tahun 1901. Antara kawasan penting yang menghasilkan padi ialah Myanmar Hulu (459 000 ekar tanah padi),Arakan(931 000 ekar),Tenasserim(1 447 000 ekar) dan delta Irawaddy(8 jua ekar) yang meliputi Henzada,Tharawaddy dan Bassien.  Akibar daripada memberi tumpuan kepada tanaman padi telah menyebabkan Myanmar berperanan sebagai keperluan beras untuk India dan Negeri-negeri Selat di samping menjadi sasaran barangan industri dari India dan Britain. Namun perkembangan pertanian padi telah menyebabkan berlakunya ketidakseimbangan dari segi wilayah dan tumpuan sentiasa diberi kepada lembah Irrawaddy khusunya Myanmar Hilir yang dibangun dengan pesat selepas tahun 1852. Sebelum tahun 1852 kerajaan Burma telah menyekat pengeksportan beras.  Namun semasa British mengusai Burma British telah menghapuskan sekatan keatas pengeksportan beras dan menghapuskan sekatan perdagangan. Semasa Myanmar di bawah pentadbiran British bandar Yangon mula mengalami kemajuan dan menjadi pintu kegiataan import dan eksport Myanmar.

2.2.2 PENGHIJRAHAN PENDATANG ASING

Di samping itu, Dasar kolonial british dalam bidang ekonomi telah menggalakan penghijrahan pendatang asing ke kawasan Myanmar atau Burma. Akibat daripada pertumbuhan ekonomi yang pesat dalam bidang pertanian,perdagangan,dan perlombongan telah menyebabkan pihak British membawa masuk buruh dari India sehingga dapat mengubah pola kependudukan Myanmar. Hal ini dapat dilihat pada tahun 1852 Myanmar Hilir dikatakan mula menerima penghijrahan dari Myanmar Hulu,Arakan dan kawasan sekitarnya sehingga menyebabkan bangsa Mon terus terbenam dalam budaya bangsa Burma akibat kemasukkan pendatang asing ke Burma dan pada masa yang sama kedatangan buruh India telah memberi sumbangan besar kepada kemakmuran Myanmar sehingga menyebabkan selepas tahun 1826 Arakan telah dibanjiri oleh penghijrah Benggala yang tidak disenangi oleh rakyat tempatan. Kemasukkan buruh dari India dikatakan telah berlaku sehingga tahun 1883 dan buruh dari India di Burma telah mececah 80 000 orang pada tahun tersebut.  Tidak dapat dinafikan kemajuan dalam ekonomi yang diperkenalkan oleh British ke atas Burma telah memajukkan sistem pengairan dalam pertanian,kemajuan Infrasrtuktur dan pemodenan pembangunan yang mendorong kepada berlakunya penghijrahan buruh-buruh India. Dalam Hal ini juga pihak British turut memberi perhatian dalam sektor pembalakan khususnya perusahaan kayu jati yang dapat membantu perkembangan ekonomi pihak British.

2.3 DASAR SOSIAL

2.3.1 SOSIAL

Selain daripada kemasukan orang India, Myanmar juga di datangi oleh orang-orang dari Eropah khususnya orang Britain, orang Cina dan Armenia. Kesan daripada kemasukan mereka ke Myanmar maka wujudnya ‘golongan kacukan’ hasil perkahwinan antara orang tempatan dengan orang asing seperti zerbadi (wanita tempatan dengan lelaki India-Muslim), maq (wanita Chittagong dengan lelaki Arakan) dan Serani (wanita tempatan dengan lelaki Eropah atau lelaki Eropah dengan wanita India. Sebahagian golongan kacukan ini menganggap diri mereka sebagai penduduk peribumi Myanmar kerana telah lama bermastautin di sana.
Dari segi pengelasan dan struktur susun lapis sosial di Myanmar pula, bangsa Eropah khususnya dari England, Scotland, dan Ireland serta orang Serani menduduki kedudukan teratas. Golongan kelas menengah pula dimonopoli oleh orang Burma dan India yang terdiri daripada tuan tanah, peniaga dan kapitalis serta golongan profesional seperti peguam, guru dan kakitangan kerajaan dalam kategoriBurma Civil Service Kelas 1 dan Kelas 2. Seterusnya adalah tuan tanah dan kapitalis peribumi yang berperanan sebagai penyumbang dana kepada ahli-ahli politik dan menguasai sektor ekonomi pertanian di samping mempunyai bank sendiri. Kedudukan yang paling terbawah adalah kebanyakannya rakyat Myanmar yang terdiri daripada petani dan buruh termasuk juga India.

2.3.2 PENDIDIKAN

Pembaharuan sistem pendidikan yang dilakukan oleh British ini kebanyakannya mendapat kritikan daripada nasionalis-nasionalis tempatan kerana hanya 2% dari keseluruhan penduduk tempatan yang mendapat pendidikan. Hal ini  demikian kerana, British hanya sekadar mengeluarkan graduan yang menjawat jawatan kerajaan dan firma-firma asing (amnya British) dan peluang memasuki universiti yang kebanyakannya dibolot pelajar bukan Burma khususnya yang berbangsa India.
Pada tahun, 1909 Kerajaan British telah menubuhkan lima buah sekolah muzik untuk pelatihan guru, dua survey sekolah dibawah Jabatan Records dan Latihan Pertanian, dasar sekolah Teknik yang ditubuhkan di Rangoon pada tahun 1895, sebuah sekolah vernakular di Tharrawaddy, sekolah tinggi di Rangoon, Kolej Rangoon, dan program pengajaran seni serta undang-undang sahaja. Sekolah untuk memberi latihan kepada para bidan di Rumah Sakit Dufferin, Rangoon turut ditubuhkan dan sebanyak enam belas buah sekolah menengah yang dikendalikan oleh pelbagai misi, dan Kolej Kecil Baptis Amerika di Rangoon, terutama untuk pendidikan Karen, di antaranya dilakukan oleh mubaligh dari Amerika yang telah bekerja selama lebih dari setengah abad di Burma.  Kegiatan mubaligh dan perkembangan sekolah Inggerish ini juga telah memberi kesan kepada perkembangan sekolah-sekolah Buddha yang di ajar oleh Rahib-Rahib yang sejak sekian lama menjadi ajaran masyarakat di Burma.
Semua sekolah yang diperkenalkan adalah dikelaskan mengikut umur iaitu sekolah rendah (6-10 tahun), sekolah menengah(10-14 tahun), sekolah menengah atas (14 hingga 16 tahun) dan Bahasa Inggeris ataupun Bahasa Burma dijadikan sebagai bahasa pengantar. Kemuncak kepada sistem pendidikan penjajah adalah kewujudan Universiti Rangoon yang mengikuti model Oxbridge dan mengandungi beberapa kolej seperti Kolej Universiti dan Kolej Judson. Semua lulusan universiti berpeluang dan layak untuk berkhidmat dalam jawatan awam seperti pendidikan dan kesihatan jika mereka lulus dalam peperiksaan khas. Pada masa yang sama, sekolah biara terus dipinggirkan apabila bilangan sekolah jenis ini semakin merosot setelah semakin ramai orang tempatan memilih pendidikan Inggeris yang dianggap lebih terjamin dari segi peluang pekerjaan. 

3.0 KESAN PERLAKSANAAN POLISI BRITISH DI BURMA

3.1      KESAN POLITIK

3.1.1   KEBANGKITAN SEMANGAT NASIONALISME

Dr.R.Suntharalingam telah memberi satu takrif yang sangat menarik berkenaan nasionalisme yang kini menjadi rujukan umum. Menurutnya, nasionalisme itu merupakan satu “fenomena sejagat yang mengiktiraf hak setiap bangsa di dunia untuk menubuhkan negaranya yang tersendiri, memindahkan kedaulatan rakyat kepada Negara bangsa itu”, tidak kiralah konsep Negara itu hanyalah sebuah masyarakat politik yang diimiginasikan. Bagi Negara-negara Asia yang dijajah oleh kuasa Barat umpamanya Myanmar, nasionalisme ini dikenal pasti sebagai “Usaha menamatkan penjajahan serta merombak nilai-nilai dan institusi politik secocok dengan konsep Negara bangsa yang bebas dan berdaulat.
Kebanyakan perbincangan tentang nasionalisme sebelum tahun 1942 lebih banyak merujuk Mynmar sebagai pusat dan jarang sekali diketahui tentang kesedaran nasionalisme di peringkat daerah seperti di Arakan, Moulmein ataupun di negeri-negeri Shan yang sengaja dilindungi oleh British daripada arus nasionalisme. Arakan walaupun berada dalam keadaan lesu dari segi ekonomi dan pembangunan fizikal turut menyumbang kepada arus perdana nasionalisme melalui tokoh-tokoh pro-British seperti U May Oung, Htoon Aung Gyaw dan Paw Tun ataupun individu anti-British dan radikal seperti U Oktama dan Thakin  Kha, seorang berbangsa India yang bertanggungjawab menubuhkan cawangan pertama parti Thakin di Arakan. Oleh sebab kegiatan mereka bertumpu di Yangon, maka tidak banyak maklumat tentang kegiatan mereka di Akyab, Mrohaung ataupun sandoway diketahui umum.
Dalam membincangkan nasionalisme Myanmar, terdapat beberapa kumpulan yang memberikan sumbangan penting. Kumpulan terpenting adalah kelas menengah yang muncul selepas tahun 1885, dan lebih awal lagi di Arakan, akibat dasar-dasar British dalam bidang pendidikan, pentadbiran dan ekonomi. Mereka ini umumnya berasal daripada keluarga individu yang pernah bekerjasama dengan pentadbiran penjajah termasuk guru, peguam dan juga tuan tanah. Daripada kumpulan ini kemudiannya muncul parti-parti politik seperti YMBA,GCBA, Myochit, Sinyetha dan Dobama Ahsiahyone. Satu lagi kumpulan penting ialah golongan petani. Mereka melihat kerajaan penjajah sebagai kerajaan yang menindas, justeru itu mereka berjuang menubuhkan sebuah kerajaan yang didukung rakyat peribumi yang lebih prihatin kepada kepentingan petani. Kumpulan ketiga adalah rahib dan bekas rahib seperti U Oktama yang sangat dikenali umum. Rahib juga berjuang melalui persatuan yang menentang British seperti Grand Council of Sangha Samegyi (GCSS). Kumpulan pelajar pula merupakan pecahan kumpulan pertama yang memandang sinis terhadap pensubahatan kelas menengah dengan kerajaan penjajah dan memperjuangkan kemerdekaan dengan cara yang tersendiri.
Pertubuhan pertama yang mempunyai ciri-ciri organisasi parti seperti di Barat ditubuhkan pada tahun 1881 oleh orang Karen yang beragama Kristian dengan bantuan paderi Amerika. Persatuan ini amat pro-British dan beridentiti Kristian menyebabkan persatuan ini terasing daripada majoriti rakyat tempatan apatah lagi pertubuhan ini hanya memperjuangkan kepentingan bangsa Karen. Perjuangan yang sempit ini berterusan sehingga tahun 1930 di kalangan persatuan Karen yang lain termasuk persatuan terbesar pimpinan San C Po yang terkenal kerana bersikap pro-British.

3.1.2 KESAN PELAKSANAAN AKTA KAMPUNG 1887

Seluruh penduduk kampung di Sagaing yang telah memberi bantuan kepada pihak musuh telah dipindahkan dan sebuah kampung lain yang telah berbuat demikian telah didenda. Berikutan  tindakan yang dijalankan tersebut, akhirnya telah berjaya memaksa seorang pemimpin gerakan anti-British menyerah diri bersama dengan 42 orang pengikutnya pada bulan Mei 1890.  Pengenalan Akta kampung ini juga telah berjaya mengamankan keadaan di daerah-daerah yang bergolak dan keadaan yang tidak terkawal berjaya dibendung oleh pihak British. Selain itu,  Pihak British telah berjaya memansuhkan kuasa-kuasa ketua kampung yang sebelum ini memiliki kuasa dan pengaruh yang kuat terhadap penduduk tempatan. Namun selepas Akta Kampung 1887 diperkenalkan oleh British myothugy-myothugy dan taikthugy-taikthugy telah dimansuhkan dan beransur-ansur unit sosial dan politik bumiputera yang terbesar telah termusnah dan corak pentadbiran yang tetap secara langsung telah dikuatkuasakan dengan daerah kampung-kampung telah diletakkan di bawah kuasa pegawai pentadbiran awam iaitu myo-ok atau pegawai pentadbiran.

3.1.3 PENGHAPUSAN SISTEM PENTADBIRAN TRADISIONAL

Untuk kepentingan British serta meneruskan dasar yang pernah dibuat oleh raja-raja, Myanmar telah dipecahkan dari segi pentadbiran kepada pusat yang meliputi Lembangan Irrawaddy, Tenasserim serta bahagian Pama di Arakan dan Myanmar pinggir yang meliputi negeri-negeri Shan, Bukit Kachin, Bukit Chin serta kawasan berbukit di Arakan. Bagi mewujudkan sebuah Negara baru, Britain dipengaruhi oleh konsep-konsep kenegaraan di Eropah seperti konsep kuasa Kerajaan yang perlu dihormati atau ditakuti oleh setiap rakyat ataupun penentuan sempadan Myanmar dengan jiran-jirannya yang dilakukan tanpa mengambil kira taburan geografi pelbagai kelompok etnik yang mendiami kawasan perbatasan yang melibatkan bangsa-bangsa minoriti seperti Rohingy, Chin dan Shan-China. Antara kesannya yang dapat dilihat pada masa kini ialah bangsa Chin telah dipecahkan kepada yang bermastautin di Utara Assam.
Penguasaan Tenasserim dan Arakan selepas tahun 1826 merupakan satu peluang baik bagi Britain mencari satu bentuk pentadbiran untuk sebuah negara yang dijajah seperti Myanmar. Di Arakan, sejak awal lagi terdapat dua bentuk pentadbiran yakni secara langsung yang dikendalikan oleh para pegawai British dan pensubahat tempatan, sementara di kawasan bukit pula kedudukan ketua-ketua tradisional dikekalkan. Sementara itu,Tennaserim yang ditadbir oleh Maingy sebagai ketua Pesuruhjaya dipecahkan kepada tiga daerah yang setiap satu diketuai seorang timbalan pesuruhjaya kecuali mereka yang bermasalah dari segi politik, Myothugyi dan thugyi diserap ke dalam perkhidmatan penjajah namun mereka tidak diberi sebarang tanggungjawab sosial seperti sebelumnya. Dengan kata lain, kebajikan rakyat kini semakin terpinggir lantaran menjadi mangsa kelicinan pentadbiran. Pegu yang diambil alih selepas tahun 1852 dipecahkan kepada lima daerah dengan bentuk pentadbiranya sama seperti yang terdapat di Tenneserim.

3.1.4 PENGHAPUSAN INSTITUSI BERAJA DAN KEJATUHAN SISTEM PEMERINTAHAN DINASTI KONBAUNG.

Raja-raja Konbaung merupakan pemerintahan terakhir di Myanmar sebelum dikuasai oleh British pada tahun 1886, dinasti ini diasaskan oleh Alaungpaya pada tahun 1753, sebelum kejatuhan dinasti ini mereka dianggap sebagai penaung dan pengembang ajaran Buddha, penakluk negeri, tunggak kekuatan dan mengekalkan adat resam tempatan. Selain itu, Raja-raja Konbaung juga dipercayai mempunyai daulat yang tinggi. Pada abad ke-19, kuasa pemerintahan dinasti Konbaung ini sudah mula menunjukkan kesukaran untuk dikekalkan kerana British sudah mula bertapak kukuh di India dan sentiasa menanti peluang serta ruang untuk melebarkan sayapnya ke atas Myanmar. Tindakan Raja Bodawpaya untuk menguasai Arakan telah disalah anggap oleh British sebagai usaha memperkukuh kuasa dan mengancam British. Akibat daripada peristiwa ini telah meletus perang di antara British dan Myanmar pada tahun 1824 yang menjadi titik tolak kepada kejatuhan Dinasti Konbaung.
Raja Myanmar terakhir ialah Raja Thibaw Min yang telah gagal menghadapi serangan British dan menyerahkan Myanmar kepada pihak British. Tindakan tersebut telah mengakhiri pemerintahan dinasti Konbaung pada tahun 1886. Penyerahan Myanmar pada tahun 1886 ini menandakan satu tahap penting dalam pemerintahan beraja di Myanmar, Keadaan ini menunjukkan sistem pemerintahan beraja yang amat bergantung pada kebijaksanaan dan kebolehan raja telah berakhir. Kelemahan pemerintahan dan keperibadian raja-raja Myanmar serta tidak peka kepada perkembangan semasa telah melemahkan kedudukan mereka dan juga kerajaan.
Keadaan ini berbeza pada zaman Mindon Minh yang mempunyai sikap yang berlainan berbanding dengan raja-raja yang lain. Baginda mengamalkan sikap berdiplomasi kerana tidak percaya peperangan sebagai jalan untuk menyelasaikan perbalahan politik. Pada zaman pemerintahan Bodawpaya pula berlaku kemerosotan dalam bidang ketenteraan dan ekonomi kerana baginda menjalankan dasar perang ke atas Thailand yang mempunyai kekuatan tentera yang seimbang. Perbendaharaan Negara telah dihabiskan untuk membina pagoda yang terbesar di dunia tetapi gagal disiapkan selepas dua belas tahun pembinaannya. Peristiwa-peristiwa ini menunjukkan zaman Dinasti Konbaung amat lemah dan tidak mampu menahan gelombang perubahan yang dibawa oleh pihak Barat pada abad ke-19.




3.2  KESAN EKONOMI

3.2.1 PENGUASAAN EKONOMI OLEH KUASA ASING DAN GOLONGAN IMIGRAN

Sejajar dengan dasar ekonomi bebas, ekonomi penjajah dikuasai oleh kepentingan asing seperti Syarikat-syarikat besar British dan juga orang India. Contohnya dalam sektor industri minyak, tiga syarikat eropah iaitu Burmah Oil, British Burma Petroleum dan Burma Shell memonopoli hampir 98 peratus pengeluaran minyak yang berpusat di Yenangyang dan Chauk, sementara pengeluar-pengeluar burman yang kecil hampir tidak kelihatan lagi. Burma Corporation pula menguasai bidang perlombongan terutamanya di Bawdwin yang terletak berhampiran Lashio yang merupakan antara pengeluar terbesar Plumbum dan perak di dunia . Sektor perbankan juga turut dimonopoli oleh kepentingan British, India dan juga China sebarang laut. Dalam bidang pengangkutan, sungai Irrawaddy dimonopoli oleh syarikat Irrawaddy Flotilla, sementara di Arakan, syarikat Arakan Flotilla yang lebih menyerlah. Syarikat-syarikat British juga menguasai kegiatan import dan eksport yang menggunakan kapal-kapal British ataupun India.
Selain itu ekonomi Burma juga banyak dikuasai oleh golonga imigran iaitu orang India yang mana kedai-kedai kepunyaan mereka seperti kedai runcit, kedai kain, kedai ubat dan kedai makan berselerak di seluruh Myanmar, dibandar mahupun di luar Bandar. Pada tahun 1931, orang India menyumbang hampir 17.3 peratus bilangan peniaga dan peruncit, sementara gedung-gedung yang terdapat di Bandar-bandar utama seperti di Yangon, Mandalay, Maymyo, Moulmein, Bassein, Pegu dan Akyyab hampir kesemuanya dimiliki oleh pemodal India. Mereka juga menguasai sektor perhotelan, panggung wayang dan kedai emas serta memiliki tanah dan sebagai tuan punya bangunan perniagaan. Di Yangon, hampir 50 peratus keluasan tanahnya dikuasai orang India. Keadaan yang serupa wujud di Bandar- Bandar yang lebih kecil, sementara di peringkat desa pula terdapat peniaga-peniaga India-Muslim yang dikenali sebagai Culia atau kaka.


3.2.2 PENINGKATAN PENGELUARAN HASIL TANAMAN PADI.

Penggunaan peralatan yang lebih moden dalam pertanian hasil daripada dasar-dasar yang diperkenalkan oleh British telah membawa kepada peningkatan pengeluaran hasil tanaman padi yang mana tanaman ini telah menguasai lebih 70 peratus tanah pertanian dan menjadi hasil utama yang menyumbang kepada kemakmuran ekonomi penjajah. Antara kawasan penting yang menghasilakn padi ialah Myanmar Hulu (sehingga tahun 1941 mempunyai keluasan tanah sebanyak 459,000 ekar tanah padi), zon kering (dua juta ekar), prome dan Toungoo di Lembah Sittang (800,000) Arakan (931,000), Tenasserim (1447,000) dan Delta Irrawaddy (lapan juta ekar) yang meliputi Henzada, Tharawaddy, Insein, Yangon, Maubin, Pyapon, Myaungmya dan Bassein.
Pertumbuhan industri padi di delta Irrawady sejak tahun 1852 memang mengagumkan, pada tahun 1885, terdapat 700,000 ekar tanah sawah, keluasan ini meningkat kepada enam juta ekar pada tahun 1906 dan seterusnya kepada lapan juta ekar pada tahun 1930-1931. Jumlah pengeluaran padi yang dieksport dalam tempoh yang sama pula meningkat dari Rs120 untuk seratus bakul kepada Rs195 pada tahun 1920-an. Jumlah kilang padi juga bertambah dengan pesatnya dari 124 buah pada tahun 1908 kepada 486 buah pada tahun 1930.

3.3  KESAN SOSIAL

3.3.1 PEMINGGIRAN BIARA ATAUPUN PENDIDIKAN BERBENTUK KEAGAMAAN

Selain itu, kesan daripada dasar pendidikan British di Burma, sekolah biara telah dipinggirkan kerana tidak terdapat satu usaha yang serius dilakukan oleh pihak British untuk menyerapkan sekolah tersebut dalam pendidikan penjajah. Bilangan sekolah biara juga telah merosot apabila penduduk tempatan memilih sekolah Inggeris yang dianggap lebih menjamin masa depan mereka dari segi peluang pekerjaan. Malahan ibubapa juga tidak teragak-agak untuk menghantar anak mereka ke sekolah mubaligh walaupun mereka sedar anak-anak mereka akan terdedah kepada agama Kristian.  Namun mereka sedar bahawa jawatan yang tinggi dan bergaji besar hanya akan diberikan kepada orang Burma yang mahir berbahasa Inggeris dan ilmu akaun. Lulusan sistem pendidikan biara pula hanya sesuai diterap ke sekolah aliran campuran atau sekolah yang menggunakan bahasa Burma sebagai bahasa pengantar tetapi yang terbaik antara mereka masih boleh mendapatkan bantuan kewangan kerajaan.
Perkembangan pendidikan di wilayah pinggir pula amat berbeza sekali, Di sini terdapat penglibatan mubaligh yang amat ketara dalam sistem pendidikan seperti dalam kalangan bangsa Chin, Kachin dan Karen, sementara di negeri-negeri Shan, pendidikan diurus oleh kerajaan negeri. Pada Umumnya, pendidikan di kalangan bangsa Shan masih berada pada tahap yang rendah, di kalangan bangsa ini mereka yang mendapat pendidikan Barat juga menganuti agama Kristian di samping menjadi penyokong setia pentadbiran penjajag yang paternalistic. Individu-individu seperti inilah yang amat kecewa apabila Britian akan kembali semula selepas tahun 1920.

3.3.2 PERKEMBANGAN SISTEM PENDIDIKAN
Kesan daripada pendidikan British ini, maka berkembanglah sistem pendidikan di Burma dan melahirkan golongan yang cerdik pandai serta melahirkan golongan politik seperti Paw Tun dan Aung Htoon Gyaw walaupun mereka pro-British.  Kemuncak sistem Kemajuan pendidikan di Burma telah adalah kewujudan Universiti Rangoon yang mengikut model Oxbridge (Oxford Cambridge). Bilangan pelajar juga telah bertambah apabila seramai 2400 orang pelajar yang melanjutkan pelajaran di Universiti berkenaan pada tahun 1940. Malahan  pelajar-pelajar tersebut mendapat tenaga pengajar yang berwibawa seperti D.G.E. Hall (sejarah), John F.Cady (sejarah), J.R. Andrus (ekonomi), dan Gordon Luce (arkeologi).  Semua lulusan universiti ini akan berpeluang untuk diserap dalam perkhidmatan awam seperti pendidikan dan kesihatan. Universiti Rangoon juga dikatakan turut melahirkan para pemimpin politik tempatan dan akhirnya menjadi pemimpin negara seperti Aung San.

4.0 ANALISIS
Soalan ini membincangkan tentang polisi pentadbiran British di Burma. Berdasarkan kepada petikan soalan ini jelaslah menunjukkan sememangnya telah berlaku perubahan yang agak drastik jika dilihat dari sudut politik, ekonomi dan sosialnya. Hal ini berikut pentadbiran di Burma yang dipecahkan kepada dua bahagian iaitu Burma Hilir dan Burma Hulu. Jika dilihat dari sudut pentadbiran politiknya, bahagian Burma Hilir lebih maju berbanding bahagian Burma Hulu kerana majoriti di bahagian Burma Hilir adalah penduduk Burma manakala bahagian Burma Hulu yang didiami oleh golongan minoriti iaitu etnik Chin, Kachin, Shan, Mon, Kayin dan Kayah. Kerajaan British lebih memajukan Burma Hilir jika di bandingkan bahagian Burma Hulu akan tetapi Burma Hulu tetap masih dalam kawalan British. Malah British juga membenarkan masyarakat Burma Hulu mentadbir kerajaan mereka sendiri disebabkan jarak Burma Hulu sangat jauh dengan Burma Hilir dan menyukarkan Kerajaan British untuk mentadbir secara keseluruhan Burma Hulu. Disamping itu juga, Kerajaan British menggunakan masyarakat Burma Hulu untuk menjadi pegawai dan polis-polis dalam pentadbiran Burma Hulu. Dari segi ekonominya pula, kedua-dua bahagian ini juga turut mengalami perbezaan dimana bahagian Burma Hilir lebih berkembang maju jika dibandingkan dengan ekonomi di bahagian Burma Hulu. Pengasingannya daripada India membolehkan Burma berdiri sebagai sebuah entiti politik yang tersendiri dan yang paling penting ia telah membuka peluang kepada ramai rakyat Burma yang terpelajar untuk terlibat dalam pemerintahan di Burma sendiri. Dasar British yang lebih terbuka selepas pengasingan daripada India dalam bidang sosial dan politik telah memberi peluang kepada ramai rakyat Burma menerima pendidikan dan seterusnya terlibat dalam pemerintahan yang mana ia secara tidak langsung membawa kepada peningkatan dalam semangat nasionalisme selepas itu. Walau bagaimanapun, dalam aspek ekonomi pula rakyat Burma telah dihimpit dengan dengan kesengsaraan apabila mereka ini terpaksa berhutang dengan golongan Chettier sehingga menyebabkan kehilangan tanah selain daripada terpaksa juga bersaing dengan tenaga buruh dari India dalan aktiviti ekonomi yang dijalankan oleh British sehingga mewujudkan masyarakat majmuk di India dengan kemasukkan buruh-buruh asing ini.


5.0 KESIMPULAN
Jelaslah bahawa polisi British membawa kepada perubahan yang besar terhadap masyarakat Burma dari segi politik, ekonomi dan sosial. Dalam aspek politik telah memperlihatkan dasar British itu telah menyebabkan institusi monarki Burma telah pun dihapuskan selamanya sehingga sekarang. Apa yang kita lihat sistem pemerintahan di Myanmar pada masa kini ialah berdasarkan pihak junta yang memerintah iaitu ketenteraan. Oleh itu, kesan politik ini merupakan kesan paling penting dalam sejarah negara Myanmar yang dulunya mempunyai institusi beraja yang agung bertukar kepada hanya kuasa presiden yang mengetuai negara. Selain itu, dasar ekonomi dan sosial British juga memberikan impak yang besar dalam merubah kehidupan masyarakat Burma. Walaupun terdapat impak negatifnya, namun ia juga menjamin kemajuan dari aspek pendapatan penduduk tempatan serta pembinaan institusi pendidikan seperti Universiti Rangoon pada tahun 1920 dan seterusnya melahirkan golongan nasionalisme seperti Aung san bagi membela nasib rakyat demi mencapai kemerdekaan mereka.

No comments:

Post a Comment