Total Pageviews

Sunday 11 February 2018

contoh kerja kursus Pengajian Am STPM

Contoh Kerja Kursus Pengajian AM
1. ABSTRAK

Adat Resam Dalam Majlis Perkahwinan Masyarakat Kaum India Di Taman Kelubi Damai, Jasin, Melaka.


      Kajian ini dijalankan dibawah tajuk, “Adat Resam dalam Majlis Perkahwinan Masyarakat India” di Taman Kelubi Damai. Kajian ini mengemukakan dua objektif. Objektif pertama kajian ialah untuk mengenalpasti jenis-jenis adat resam dalam majlis perkahwinan masyarakat India. Objektif yang kedua pula, mengenalpasti kepentingan mengekalkan adat resam dalam majlis perkahwinan masyarakat India di Taman Kelubi Damai. Kawasan kajian ini terletak kira-kira 4 km dari Bandar Jasin dan 28 km dari Bandaraya Melaka. Kajian yang digunakan ialah kajian tinjauan. Instrumen kajian yang digunakan dalam kajian ialah soal selidik dan pemerhatian. Sampel kajian ialah seramai 25 orang responden yang tinggal di Taman Kelubi Damai. Dapatan kajian menunjukkan bahawa penduduk di taman tersebut masih mengamalkan adat resam dalam majlis perkahwinan India. Kajian ini merumuskan bahawa adat resam perkahwinan masih diamalkan di sini kerana masih terdapat golongan masyarakat yang mengamalkan adat resam dari turun-temurun.

2. KANDUNGAN


Bilangan

Butiran

Muka Surat
1
Penulisan : Abstrak
1
2
Kandungan
2
3
Penghargaan
3
4
Pengenalan
4 - 10
5
Objektif Kajian
11
6
Lokasi Kajian
12 - 15
7
Metodologi Kajian
16 - 17
8
Dapatan Kajian
18 - 29
9
Rumusan / Kesimpulan
30 - 32
10
Rujukan
33 - 34
11
Lampiran
35 - 38

3. PENGHARGAAN

      Selamat sejahtera dan rasa kesyukuran saya ucapkan kepada Tuhan kerana dengan limpah kurniaNya, dapat juga saya menyiapkan kerja kursus Pengajian Am kertas 4 (900/4) penggal 2 tahun 2015 yang bertajuk, “Adat Resam dalam majlis perkahwinan masyarakat kaum India di Taman Kelubi Damai, Jasin, Melaka” dalam masa yang telah ditetapkan oleh guru pembimbing iaitu Encik Sabaruddin Bin Ismail yang merupakan guru Pengajian Am di sekolah.

      Terlebih dahulu saya ingin merakamkan ucapan setinggi-tinggi terima kasih yang tidak terhingga kepada Tuan Haji Abdul Bari Bin Ahmad yang merupakan pengetua Sekolah Menengah Kebangsaan Datuk Bendahara, kerana telah memberi keizinan kepada saya untuk menyiapkan tugasan ini dengan sempurna dan teratur.

    Seterusnya, saya juga ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada guru mata pelajaran Pengajian Am saya iaitu Encik Sabaruddin Bin Ismail kerana telah banyak meluangkan masa, memberikan tunjuk ajar serta nasihat untuk membantu saya menyiapkan kajian ini, selain memberikan semangat kepada  saya untuk menjalankan tugasan ini dengan sebaik-baiknya.

      Tidak dilupakan juga ribuan terima kasih yang tidak terhingga kepada kedua-dua ibu bapa saya iaitu Encik XXX A/L XXX serta Puan XXX A/P XXX yang telah banyak berkorban untuk saya dari segi tenaga, dorongan serta dari segi kewangan untuk memastikan kerja kursus ini supaya berjalan dengan lancar.

      Akhir sekali, di sini saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada rakan-rakan saya serta pihak-pihak yang terlibat secara langsung ataupun secara tidak langsung dalam membantu saya menyiapkan kerja kursus Pengajian Am ini.   
  
    Semasa saya menjalankan kerja kursus Pengajian Am ini, saya telah menghadapi banyak kesukaran dan cabaran dalam menyiapkan kajian, akan tetapi dengan berkat kesabaran dan doa yang tidak putus ke hadapan Tuhan, dapat juga saya menyiapkan kerja kursus  ini dengan jayanya.

4. PENGENALAN

      Definisi “adat” menurut Kamus Dewan, adat bermaksud suatu peraturan yang diamalkan secara turun temurun di dalam masyarakat sehingga merupakan hukum dan peraturan yang harus dipatuhi. Adat juga didefinasikan sebagai suatu cara yang sudah menjadi kebiasaan. Etimologi perkataan adat adalah dari bahasa Arab “Adah” yang bererti kebiasaan atau sesuatu perbuatan yang dilakukan secara berulang-ulang lalu menjadi kebiasaan yang tetap dan dihormati orang,maka kebiasaan itu menjadi adat. Kata majmuk adat ialah adat istiadat. Apabila konsep adat dijadikan istilah Melayu perkataan ini boleh disamakan dengan kebudayaan. Konsep adat dalam kalangan masyarakat India bukan sahaja bermaksud upacara atau istiadat tetapi juga bermaksud seluruh sistem hidup seperti sistem sosial, kepercayaan dan perundangan. Adat juga dikenali sebagai aneka kelaziman dalam sesebuah negeri berdasarkan kepada keadaan dan situasi sesuatu masyarakat itu. Ringkasnya, adat adalah peraturan hidup sehari-hari. Ia merupakan gagasan kebudayaan yang terdiri daripada nilai-nilai kebudayaan, norma, kebiasaan, kelembagaan dan hukum adat yang lazim dilakukan di sesuatu daerah.

      Adat istiadat dalam masyarakat India tradisional ialah segala yang berkaitan dengan proses kehidupan manusia bermula apabila seseorang itu lahir hingga beliau meninggal dunia. Menurut Dr.Van Dijkmengatakan adat merupakan kesusilaan dan kebiasaan di semua lapangan hidup dan semua peraturan dan tingkah laku. Menurut A.J.N Richard pula menakrifkan adat sebagai “colloquially”. Adat boleh didefinisikan sebagai undang-undang, fesyen , peribadi dan tingkah laku sosial.

      Rasional kajian mengkaji adat resam masyarakat India dalam majlis perkahwinan di Taman Kelubi Damai ini dilakukan kerana, pengkaji ingin memperkenalkan semula jenis-jenis adat resam India yang semakin dilupakan oleh generasi muda. Selain itu, pengkaji juga  mahu mengenal pasti adakah masyarakat di Taman Kelubi Damai masih mengamalkan adat resam dalam majlis perkahwinanan.

1. MERISIK
      Adat merisik merupakan peringkat pertama dalam melangsungkan sebuah majlis perkahwinan masyarakat India. Dalam peringkat merisik, beberapa aspek akan diberi perhatian oleh keluarga kedua-dua belah bakal pengantin seperti faktor etnik, sub etnik, kasta dan agama. Selain itu, faktor-faktor lain seperti status ekonomi dan status sosial merangkumi aspek seperti umur, tahap pendidikan, jenis pekerjaan, etika dan moral, rupa paras dan latar belakang keluarga juga turut diambil kira. Selalunya maklumat-maklumat ini diperolehi secara langsung dari pihak yang terlibat dan juga secara tidak langsung menerusi sahabat-handai dan saudara mara. Ada kalanya orang tengah yang dipanggil “tirumana taragar” akan membantu dalam kerja-kerja merisik. Tetapi kini peranan tersebut telah diambil alih oleh ejen-ejen perkahwinan yang berdaftar.

2. KUNJUNGAN KE RUMAH PENGANTIN
      Adat ini dilakukan selepas adat merisik dilakukan. Bakal pengantin lelaki akan mengunjungi bakal pengantin perempuan untuk melihat sendiri paras rupa dan perawakan calon isterinya. Adat ini dikenali sebagai “pen paarttal” atau dalam bahasa Melayu dipanggil sebagai melihat bakal isteri. Ketika itu wakil pihak lelaki perlu datang dalam jumlah ganjil walaupun bilangan tersebut ramai. Buah tangan seperti kelapa, sirih, pinang, cendana, buah-buahan, bunyi-bunyian serta serbuk kumkum akan dibawa. Barang-barang ini dibawa sebagai tanda kedatangan mereka atas niat yang baik dan untuk mengeratkan lagi hubungan kekeluargaan. Pihak bakal pengantin perempuan akan menerima hantaran tersebut sekiranya bersetuju. Jika tidak, mereka hanya melayan orang yang datang sebagai tetamu dan tidak akan mengambil barang-barang tersebut.

      Bakal pengantin perempuan akan memakai sari dan dipertanggungjawabkan menghidang air minuman. Pada masa itu bakal pengantin lelaki berpeluang melihat pengantin perempuan dengan lebih dekat lagi. Oleh itu bakal pengantin perempuan perlu melayani para tetamu yang bertandang termasuklah bakal suami. Kemudian kunjungan ini dibalas oleh wakil perempuan. Kali ini pengantin perempuan tidak turut serta. Dalam masyarakat India, adat “pen paarttal” juga bertujuan untuk mengetahui latar belakang bakal pengantin lelaki. Adat penyesuaian bakal pengantin dikenali sebagai “Thirumanam Poruttam Paartal” dijalankan terlebih dahulu. Dalam ajaran Hindu tidak terdapat konsep perceraian. Terdapat 21 aspek perlu diambil kira untuk menentukan kesesuaian pasangan bakal pengantin dengan cara
tilikan dimanak Hindu. Diantara yang masih diamalkan oleh masyarakat Hindu iaitu ‘Tina
poruttam/Natcattira poruttam’, ‘Kana poruttam’, ‘Mahentira poruttam’, ‘Pentiikka poruttam’, ‘Yooni poruttam’, ‘Raasi poruttam’, ‘Raasiyaati paati poruttam’, ‘Vaiya poruttam’, ‘Racau poruttam’ dan ‘Veetai poruttam’.

3. IKAT JANJI
      Ikat janji atau ‘niccayam’ dilakukan selepas mendapat persetujuan kedua-dua belah pihak. Wakil lelaki akan datang ke rumah pihak perempuan dalam jumlah bilangan yang ganjil dengan membawa beberapa barangan seperti kelapa, sirih pinang, bunga-bungaan buah-buahan, cendana dan kumkum untuk diberikan kepada wakil perempuan. Sebaik sahaja sampai ke rumah bakal pengantin perempuan, bapa kedua-dua belah pihak akan berbincang mengenai perkahwinan tersebut. Sekiranya bapa salah seorang bakal pengantin telah meninggal dunia, perbincangan akan diadakan dengan saudara-mara. Sekiranya kedua-dua belah pihak pengantin bersetuju, mereka akan mengikat janji. Bakal pengantin lelaki seterusnya akan melafazkan ikat janji bagi menyatakan persetujuan untuk mengahwini bakal pengantin perempuan. Seterusnya perkahwinan tersebut akan diumumkan kepada orang ramai. Sebagai tanda ikatan, kedua-dua pengantin akan menukar sirih pinang yang dinamakan taambuulan marrutal. Kemudian mereka akan membincangkan mengenai hari perkahwinan dan tentang belanja untuk pengantin perempuan, kad jemputan dan sebagainya. Kemudian upacara “niccayam” akan dilakukan dan lazimnya akan dijalankan dengan bertukar-tukar kalungan bunga.

4. PARISAM
      Adat parisam terbahagi kepada dua iaitu “parisam biasa” atau “udan parisam”. Parisam biasa adalah pemberian hadiah yang dijalankan lebih awal daripada hari perkahwinan, manakala udan parisam adalah pemberian hadiah yang dilakukan pada hari yang sama di sebelah pagi sebelum perkahwinan dilangsungkan. Dalam masyarakat India, parisam umpama sebuah majlis pertunangan. Adat pemberian parisam akan diadakan pada hari yang telah dipersetujui oleh kedua-dua belah pihak. Pihak pengantin lelaki akan menyediakan beberapa jenis hantaran dalam jumlah ganjil. Hantaran ini perlu disediakan oleh wanita yang sudah bersuami sahaja dan mereka dipanggil ‘cumanggali’. Parisam akan dibawa ke rumah pengantin perempuan diketuai oleh bakal pengantin lelaki dengan memakai pakaian tradisional masyarakat India. Pada masa yang sama alat muzik tradisional seperti ‘naatasawaram dan meelam’ dimainkan. Pihak perempuan akan menyediakan buyung yang dikenali sebagai puurana kumbum yang diletakkan di ruang tamu. Lampu minyak yang dipanggil sebagai ‘kuttu vilakku’ diletakkan bersebelahan ‘puurana kumbum’ sebagai tanda menunjukkan kurniaan tuhan.

       Bagi memulakan adat tersebut, upacara sembahyang akan dilakukan terlebih dahulu. Kemudian bapa pengantin perempuan akan membawaparisam yang mengandungi sari dan diberi kepada anaknya. Pada masa yang sama pengantin perempuan menulis sesuatu dengan menggunakan kunyit sebagai meminta restu daripada tuhan. Setelah itu barulah pihak lelaki dan jemputan lain boleh melihat ‘puurana kumbum’ dengan lebih dekat lagi. Pada hari tersebut, bakal pengantin perempuan memakai sari parisam dan dipimpin keluar oleh seorang wanita lain ke ruang tamu. Pada masa ini beberapa orang saudara-mara boleh mengalungkan kalungan bunga pada bakal pengantin perempuan. Ini dikenali sebagai ‘orrai-maalai’ atau kalungan tunggal. Pengiring akan memberi kad jemputan kepada kedua-dua pihak pengantin. Tiga upacara penting iaitu mengunjungi rumah pengantin (pen paartal), adat ikat janji (niccayam) dan pemberian hadiah (parisam) merupakan adat yang sering dilakukan oleh masyarakat India. Namun begitu ada di kalangan mereka yang tidak lagi melakukan upacara tersebut untuk mengelakkan pembaziran.

5. SEBELUM MAJLIS PERKAHWINAN
      Sebelum majlis perkahwinan berlangsung, terdapat beberapa perkara penting yang perlu dijalankan terlebih dahulu, antaranya :

A. Kad Jemputan
Kad jemputan memainkan peranan yang penting dalam perkahwinan masyarakat India. Kad jemputan ini dibuat berdasarkan almanak Hindu. Sekiranya terdapat kesilapan, bermakna perkahwinan tidak dapat dijalankan dengan lancar. Kad jemputan yang telah dicetak disapu dengan serbuk kunyit cair sebagai lambang keharmonian. Beberapa keping kad jemputan dalam bilangan ganjil akan dibawa bersama ke kuil untuk dibawa bersembahyang (arccanai). Kad diletakkan di atas dulang bersama sirih, wang ringgit, kelapa, pinang dan sebagainya sebagai lambang kekayaan. Upacara ini dinamakan sebagai ‘paanam paaku’. Kemudian dulang akan dibawa ke rumah pengantin perempuan untuk diberi kepada pengantin lelaki dan begitulah sebaliknya. Pada masa yang sama sirih pinang akan diberikan sebagai tanda jemputan perkahwinan secara rasmi.

B. Penyediaan Thaali (Tirumaanggalyam)
Thaali atau “tirumaangalyam” merupakan lambang suci perkahwinan yang dikalungkan pada leher pengantin perempuan. Pada thaali itu diikat segumpal benang putih yang disapu dengan kunyit. Terdapat pelbagai jenis thaali yang digunakan oleh masyarakat India seperti lingath thaali, pottut thaali, tennant thaali dan sebagainya. Ini disebabkan terdapat pelbagai suku di kalangan masyarakat India. Adat penyediaan thaali ini dilakukan tujuh atau sembilan hari sebelum hari perkahwinan. Pihak lelaki akan membawa emas, cendana, kumkum, sirih pinang, kelapa dan bayaran untuk pembuat thaali. Ini adalah untuk memastikan tukang thaali mengetahui hari yang sesuai untuk membuat thaali. Tiga hari sebelum perkahwinan, thaali akan diambil dan diletakkan di tempat sembahyang atas suruhan pembuat thaali. Pihak pengantin adalah dilarang untuk menawar perkhidmatan yang dilakukan oleh pembuat thaali. Selepas itu upacara sembahyang dilakukan dan ini dinamakan sebagai “thaalippadaiyal”. Dalam upacara itu bubur manis dan nasi manis disediakan termasuklah dhoti dan sari untuk pasangan pengantin. Secara umumnya thaali tidak diwajibkan diperbuat daripada emas. Ini kerana thaali masih boleh dibuat daripada kunyit yang dikatakan lebih selamat dan tidak dicuri orang.

6. MUKUURTTA KAAL
      Adat ini dilakukan lima hari sebelum hari perkahwinan dilangsungkan. Adat “mukuurtta kaal” ini diadakan pada hari yang baik mengikut firasat masyarakat India. Untuk menjalankan adat tersebut sebatang pokok yang masih muda dan lurus akan ditebang untuk dijadikan ‘mukuurtta kaal’. Batang pokok tersebut berukuran dua atau tiga meter dan mempunyai lilitan batang antara 20 hingga 30 sentimeter. Adat mendirikan mukuurtta kaal adalah sebagai menandakan perkahwinan akan dilangsungkan di rumah tersebut. Bahan-bahan lazim seperti sirih pinang, kumkum, kunyit dan sebagainya akan disediakan. Ahli-ahli keluarga pengantin akan bermohon pada Tuhan supaya perkahwinan dapat dilangsungkan tanpa gangguan. Batang kayu diambil dan dibersihkan serta dibuang kulitnya. Lima orang perempuan yang sudah berkahwin akan menyapukan kunyit cair dan kumkum pada batang kayu tersebut dari pangkal hingga hujung. Kemudian hujung kayu diikat dengan daun ara atau mangga menggunakan kain bewarna merah. Kayu akan dipacak sedalam setengah meter dan bahan-bahan tadi akan dimasukkan ke dalam lubang tersebut sebagai lambang kekayaan. Kemudian upacara sembahyang dilakukan oleh pengantin beserta limaorang perempuan tersebut. Sebanyak sembilan jenis bijirin ditabur pada batang kayu dan lampu minyak dinyalakan. Pada masa yang sama pengantin berikrar akan menjaga alam sekitar sebagai lambang persahabatan dengan alam sekitar. Kebiasaannya adat mendirikan mukuurtta kaal dilakukan di rumah pengantin lelaki. “Thirumanam” bermaksud penyatuan atau ikatan suci melalui perkahwinan antara pasangan suami isteri agar kekal hingga ke akhir hayat.

      Terdapat tiga jenis perkahwinan dalam masyarakat India iaitu ‘Vaitikat Thairumanam’, ‘Tamil Thairumanam’ dan ‘Diya Thairumanam’ yang mana perkahwinan ini dijalankan adalah berlandaskan aspek suku kaum. Majlis perkahwinan dimulakan dengan upacara niccayam (ikat janji) dengan memberi hadiah seperti pakaian dan lain-lain. Kad undangan disapu dengan air kunyit dibawa ke kuil dalam jumlah ganjil sebagai tanda rasmi undangan perkahwinan. Upacara “Kanggenam” iaitu menanam sebatang pokok yang lurus dan disapu dengan serbuk kunyit tiga hari sebelum hari perkahwinan dilangsungkan. Pengantin lelaki tidak dibenarkan keluar selama tiga hari sebelum hari majlis perkahwinan.

7. MAJLIS PERKAHWINAN
      Upacara perkahwinan dilakukan oleh pedanda dengan berdoa supaya pengantin hidup bahagia hingga hingga akhir hayat. Pedanda akan menabur sembilan jenis bijirin setelah selesai acara menyarung cincin. Pengantin lelaki akan mengalungkan thaali yang diperbuat daripada benang yang disapu dengan kunyit dan hujungnya diikat dengan seketul kunyit kepada pengantin perempuan hingga aras dada. Kedua mempelai memberi hormat kepada ibu bapa atau mertua dengan menukar dulang berisi buah-buahan dan menyapu debu suci pada dahi pengantin. Antara adat yang dilakukan untuk menghormati dan mendapat restu termasuklah menyerah sebiji kelapa yang dilubangkan pada bahagian atasnya, menuang air susu ke dalamnya, memberi sirih, mencium tapak kaki ibu bapa (membasuh kaki ibu bapa), memberi hadiah dhoti (bapa mertua) serta sari (ibu mertua) dan wang. Biasanya pasangan pengantin akan bertukar-tukar kalungan bunga sebanyak tiga kali dan berkongsi minum air susu bercampur pisang di dalam sebiji gelas. Upacara ini menandakan pasangan ini secara rasmi telah menjadi suami isteri. Beberapa faktor penting yang diambil kira sebelum upacara perkahwinan dilangsungkan untuk mendapat kebahagiaan hidup, antaranya seperti masa yang baik untuk melangsungkan perkahwinan, pengertian thaali,valatu kal, pemberian manisan, hadiah, penghormatan kepada pengantin lelaki, simbol pokok pisang, jamuan perkahwinan dan meroboh khemah perkahwinan.

8. SELEPAS MAJLIS PERKAHWINAN
      Terdapat beberapa adat yang dijalankan oleh masyarakat India selepas berlangsungnya sesuatu majlis perkahwinan. Antara adat tersebut ialah pengantin perempuan dikehendaki pergi ke rumah pengantin lelaki sebagai menghormati suami selepas mereka disahkan sebagai pasangan suami isteri. Kemudian pengantin lelaki pula dikehendaki pergi ke rumah pengantin perempuan selama tiga hari. Pada masa itu ibu bapa mertua akan menghormati kedua-dua pengantin dengan mengadakan jamuan. Pada hari ketiga selepas perkahwinan, khemah yang dipasang untuk majlis perkahwinan lazimnya akan dirobohkan. Sebelum khemah dirobohkan, ayam akan disembelih sebagai tanda menunjukkan tamatnya upacara perkahwinan. Namun amalan tersebut tidak lagi dilakukan pada masa kini. Hanya jamuan ringan sahaja yang diberikan kepada mereka yang merobohkan khemah perkahwinan. Jamuan perkahwinan tidak ketinggalan diadakan selepas upacara perkahwinan dijalankan. Sekiranya perkahwinan dilakukan di kuil, sayur-sayuran akan dihidangkan kepada para tetamu. Sekiranya jamuan diadakan di dewan, makanan selain dari sayur-sayuran dihidangkan, kecuali daging kerana daging amat dilarang dalam agama Hindu. Jamuan tersebut akan turut disertai oleh saudara mara serta sahabat handai.

5. OBJEKTIF KAJIAN

Objektif kajian ini adalah untuk :

1. Mengenalpasti jenis-jenis adat resam dalam majlis perkahwinan masyarakat India di Taman Kelubi Damai, Jasin, Melaka.

2. Mengenalpasti kepentingan mengekalkan adat resam dalam majlis perkahwinan masyarakat India di Taman Kelubi Damai, Jasin, Melaka.

6. LOKASI KAJIAN

Dalam membuat kajian, kawasan kajian adalah satu elemen yang sangat penting. Kawasan kajian ini adalah berfokus di Taman Kelubi Damai yang mengamalkan adat resam perkahwinan dalam kalangan masyarakat India. Kawasan ini terletak kira-kira diantara 3 km dari Bandar Jasin dan 25 km atau 35 minit daripada  Bandaraya Melaka. Infrastrukur yang baik membolehkan kenderaan darat seperti motosikal, kereta, van dan lori boleh memasuki kawasan perumahan taman ini.

PETA 1

https://blogger.googleusercontent.com/img/b/R29vZ2xl/AVvXsEjZSlPz9eEGIbohH3sKgRkMrSXXhbauqMStCZcpdjxeQcB6zegaWQ9CnSkzJM5AS-WyhbtudSyNU_IwJkqB7dbASEwyMV9ESe6H6lsOjlB3L7nN4yGPuH8vzZmPOZbDBoCvME7aatoGSGw/s320/1P.jpg

 Peta 1 : Peta Negeri Melaka (Sumber : Laman Peta Google)

PETA 2

https://blogger.googleusercontent.com/img/b/R29vZ2xl/AVvXsEieN38ZwX1UjeNuLPDu2YEgdW3I0XtiHvOxTMBbsMX8ReO3gpLIJFQtXT40_SPFp3k2_Vn9L5bXIDg2m_-muJK8rRZTP-m6quZJC_uc4Oq_A9ybQveMLB8mK9z_ly3wYu4wpshfEMUKme4/s320/2P.jpg

Peta 2 : Peta Daerah Jasin (Sumber : Laman Peta Google)

PETA 3

https://blogger.googleusercontent.com/img/b/R29vZ2xl/AVvXsEhVZZVfpGmhG99o0uNkoY7CHvALtCkzhwdwEZsC54b4q-S2C84FGibeACo0Uk1j9PnKg1_VJ3EPP7nkc56RW6TKbMGTbHyQTzhQ6VXezWIQeEqk670nm3MNJ5dftbgavs8kFW1-iRZa3ss/s320/3P.jpg

Peta 3 : Peta Kawasan Taman Kelubi Damai (Sumber : Laman Peta Google)

Gambar Kawasan Perumahan Taman Kelubi Damai

https://blogger.googleusercontent.com/img/b/R29vZ2xl/AVvXsEiQWcXFR4-7NeSEb7SB-Ge3qg4PvqEqTtjLxwSaXDN6hqxYsq9i_d_DHXyrcUXZPaZsi_oY3AwJQgcvcNPyLMVK7bo4Q70TOPtJq0PyPUHiar02awWalLkf5XoJVvekiIwBAOKaxa8p8P4/s320/4P.jpg

7. METEDOLOGI KAJIAN
                                                                                                                                                              
       Bahagian ini membincangkan reka bentuk kajian, sampel kajian, instrumen kajian, cara pengumpulan data dan cara analisis data.

7.1.1 Reka Bentuk Kajian

     Kajian ini berbentuk kajian tinjauan. Kajian tinjauan ialah kaedah mengumpul maklumat dengan bertanyakan satu set soalan kepada satu sampel individu yang dipilih daripada populasi penduduk yang hendak dikaji. Kajian ini bertujuan untuk melihat sejauh manakah perlaksanaan adat perkahwinan masyarakat India di Taman Kelubi Damai.

7.1.2 Sampel Kajian

   Pemilihan sampel untuk kajian ini dilakukan secara rawak mudah yang melibatkan 25 orang penduduk di kawasan perumahan Taman Kelubi Damai. Bilangan sampel bersesuaian dengan kajian kuantitatif yang memerlukan bilangan sampel yang besar untuk mewakili populasi yang ingin dikaji.

7.2.1 Instrumen Kajian

     Instrumen kajian yang digunakan semasa menjalankan kajian ini ialah borang soal selidik.

7.2.2 Pemerhatian

     Pengkaji menyediakan borang pemerhatian untuk memerhati dan menganalisis bilangan penduduk Taman Kelubi Damai mengikut jantina dan kelas umur.

7.2.3 Soal Selidik

    Pengkaji menggunakan instrumen soal selidik yang dibina menggunakan (keep it short and simple) iaitu mengemukakan soalan yang ringkas dan mudah difahami oleh responden. Borang soal selidik ini mengandungi 2 bahagian iaitu mengenalpasti jenis-jenis adat resam dalam majlis perkahwinan masyarakat India dan mengenalpasti kepentingan mengekalkan adat resam dalam majlis perkahwinan masyarakat India. Soalan borang soal selidik merupakan soalan tertutup dan menggunakan skala biasa berserta skala linkert.

7.2.4 Temu Bual Secara Tidak Formal

    Pengkaji menyediakan 23 soalan yang berkaitan dengan jenis-jenis adat resam dan kepentingan mengekalkan adat resam dalam majlis perkahwinan masyarakat India yang dilaksanakan oleh masyarakat India untuk mendapatkan maklumat daripada responden.

7.3 Cara Pengumpulan Data

     Data dan maklumat untuk kajian ini dikumpul menggunakan pelbagai cara seperti dokumentasi, soal selidik dan temu bual secara tidak langsung. Pengkaji mempersembahkan data dalam bentuk jadual statistik, graf dan carta pai.

8. DAPATAN KAJIAN

Bahagian ini menerangkan keputusan analisis data berdasarkan tindak balas responden  terhadap soal selidik yang telah dijalankan berkaitan tentang jenis-jenis adat resam dalam majlis perkahwinan masyarakat India dan kepentingan mengekalkan adat resam dalam majlis perkahwinan masyarakat India di Taman Kelubi Damai, Jasin, Melaka.

8.1 Demografi Responden
Jadual 1 berikut menunjukkan peratus  bilangan responden yang disoal selidik mengikut umur. 
Jadual 1: Demografi Responden Mengikut Umur.

Umur
Bilangan ( responden)
Peratus (%)
20 - 30
6
24%
31 - 40
4
16%
41 - 50
7
28%
51 - 60
8
32%

https://blogger.googleusercontent.com/img/b/R29vZ2xl/AVvXsEhPcxSDZLCFKUuv53uNsJLYzDK_rxmSbkmyLl0zTlnDDkV7FV_Zg79SZMTtwQMqcIY0-EcBLcdsd0Lj2OpOvThQHKR4r6wnkXvMxItY8LLkw1-Jxkl9TR-9xvm-K_CeJUvWSqrsu6lBHtU/s320/1G.png

Peratus kajian tentang adat perkahwinan di Taman Kelubi Damai berdasarkan Umur.

Responden yang berumur antara 20 hingga 30 tahun adalah seramai 6 orang bersamaan 24%. Bagi responden yang berumur 31 hingga 40 tahun pula adalah seramai 4 orang bersamaan 16%. Responden yang berumur 41 hingga 50 tahun adalah seramai 7 orang bersamaan 28%. Akhir sekali, responden yang berumur 51 hingga 61 tahun adalah seramai 8 orang bersamaan 32%.

Jadual 2 berikut menunjukkan peratus bilangan responden berdasarkan tempoh mereka menetap di Taman Kelubi Damai.
Jadual 2 : Demografi Peratus Bilangan Responden Berdasarkan Tempoh Mereka Menetap Di Taman Kelubi Damai. 

Tempoh Menetap
Bilangan ( responden)
Peratus (%)
Kurang dari 1 tahun
1
4%
1 – 5 tahun
14
56%
6 – 6 tahun
10
40%

https://blogger.googleusercontent.com/img/b/R29vZ2xl/AVvXsEg163ukWzAeB5jupPDLKhVE9NuiEe2cVGx5-zx0P5FNLIm_ytAREB6PK8Ag2bMfFK5ic6BijD6U0sKPOjRwAY3IpvUGddhtwZz18Mof9KwAZBXWtHjec8vQ6uLYhSGexyFhZOnwHV5rVGI/s320/G2.png

Peratus kajian tentang adat Perkahwinan di Taman Kelubi Damai berdasarkan tempoh responden menetap.

Bilangan responden yang menetap kurang dari satu 1 tahun di Taman Kelubi Damai iaitu kawasan kajian ialah seramai seorang bersamaan 4%. Bilangan responden yang menetap di kawasan kajian antara 1 hingga 5 tahun ialah seramai 14 orang bersamaan 56%. Akhir sekali, bilangan responden yang menetap di kawasan kajian selama 6 hingga 10 tahun adalah seramai 10 orang bersamaan 40%. 

Jadul 3 berikut menunjukkan peratus bilangan responden yang disoal selidik mengikut pekerjaan mereka.
Jadual 3 : Demografi Peratus Bilangan Responden Berdasarkan Pekerjaan.

Pekerjaan
Bilangan ( responden)
Peratus (%)
Ya ( bekerja)
15
60%
Tidak ( suri rumah)
10
40%

https://blogger.googleusercontent.com/img/b/R29vZ2xl/AVvXsEhmkYu_4E2ociVWg6LMXFxf2RiZbtmKh6PVYWZ7OYYpQPT6G1CDaeFuZety_BvEyE9OSBuHxtUQztoM1_43BZgfPcdPZyhFF1tj6OWeh-vtzk278Jpriw-ObnTP9NTSqHYGEk8afrAhOiI/s320/3G.png

Peratus kajian tentang adat Perkahwinan di Taman Kelubi Damai berdasarkan tahap pekerjaan responden.

Bilangan responden yang mempunyai pekerjaan adalah seramai 15 orang bersamaan 60%. Juga, bilangan responden yang tidak memilki pekerjaan atau suri rumah adalah seramai 10 orang bersamaan 40%. Responden yang dipilih untuk menjalankan kajian ini mempunyai pekerjaan yang berbagai jenis. Antaranya ialah, kakitangan kerajaan dan pekerja swasta.

Jadual 4 berikut menunjukkan bilangan peratus jumlah ahli dalam keluarga responden.
Jadual 1: Demografi Peratus Bilangan Jumlah Ahli Dalam Keluarga Responden

Jumlah Ahli Dalam Keluarga Responden
Bilangan ( responden)
Peratus (%)
1 - 5
14
56%
6 - 10
11
44%

https://blogger.googleusercontent.com/img/b/R29vZ2xl/AVvXsEhn_wY71gTICOzGefhAAIkqQoJuwOyKfQADEKPK4KX8_pSMv5QGEBRQZxhNDVcO-FpsRY9ycfhUQdCo6d1My2OnaYx0kYtRbYpY4Sov4OwPqyueHSBxBj4-1HaiMUtLf1EfqmL3Zxx_dR4/s320/4G.png

Peratus kajian tentang adat Perkahwinan di Taman Kelubi Damai berdasarkan jumlah ahli dalam keluarga responden.

Bilangan responden yang mempunyai ahli keluarga antara 1 hingga 5 adalah seramai 14 orang bersamaan 56%. Seterusnya, bilangan responden yang mempunyai ahli keluarga antara 6 hingga 10 adalah seramai 11 orang bersamaan 44%. Responden yang dipilih secara rawak untuk menjalankan kajian ini mempunyai jumlah ahli keluarga masing-masing yang berbeza.

Jadual 5 berikut menunjukkan status perkahwinan responden.
Jadual 5 : Demografi Peratus Bilangan Responden Mengikut Status Perkahwinan.

Status Perkahwinan
Bilangan ( responden)
Peratus (%)
Sudah Berkahwin
25
100
Belum Berkahwin
-
0
https://blogger.googleusercontent.com/img/b/R29vZ2xl/AVvXsEgWsvFleLy78FbxwHn5Ttq0wK_iKan6t3Wzg7UPh6CTi7RK5JGNanPTWOjOFx61ZWVCTOZzxm4e161jiszYRE-ny5WenRcs20bgsDU3O7qvon8WwSgPjDoVe6aND9psGMPwORO5POzixqE/s320/5G.png

Peratus kajian tentang adat Perkahwinan di Taman Kelubi Damai berdasarkan status
perkahwinan responden.

Bilangan responden yang sudah berkahwin adalah 25 orang bersamaan 100%. Kesemua responden kajian ini sudah berumahtangga. Pengkaji memilih mereka yang sudah berumahtangga kerana boleh memperoleh maklumat kajian dengan lebih terperinci mengenai adat perkahwinan serta dapat membuat kaedah temubual tidak formal dengan mereka.

Jadual 6 : Jenis-jenis adat resam dalam majlis perkahwinan masyarakat India di Taman Kelubi Damai, Jasin, Melaka.




Jenis –  jenis adat resam dalam majlis perkahwinan India

Ya / Bersetuju

Tidak / Tidak Bersetuju
Bilangan Responden
Peratus
Bilangan Responden
Peratus
1.Bakal pengantin lelaki membawa hantaran seperti sirih dan pinang semasa mengunjungi rumah bakal pengantin perempuan.

25

100

0

0
2.Wakil pengantin lelaki membawa hantaran dalam jumlah bilangan yang ganjil semasa menghadiri upacara ikat janji atau ‘niccayam’.

25

100

0

0
3.Bertukar-tukar kalungan malai di antara kedua-kedua bakal pengantin dalam upacara ‘niccayam’.

20

80

5

20
4. Memainkan alat muzik tradisional seperti ‘nataswaram’ dan ‘melam’ dalam upacara ‘parisam’.

5

20

20

80
5. Pihak pengantin lelaki memberi kumkum,sirih dan pinang kepada pembuat ‘thaali’.

25

100

0

0

Jadual di atas menunjukkan jenis-jenis adat resam dalam majlis perkahwinan masyarakat India yang masih diamalkan oleh penduduk di Tamank Kelubi Damai. Berdasarkan pemerhatian yang dijalankan oleh pengkaji mendapati penglibatan masyarakat dalam majlis perkahwinan mampu mengeratkan hubungan silaturahim antara saudara-mara mereka justeru dapat menjayakan sebuah majlis perkahwinan.

      Seterusnya, berdasarkan penilaian yang dibuat melalui soal selidik, didapati bahawa penduduk Taman Kelubi Damai masih mengamalkan segala jenis adat resam dalam melangsungkan sebuah majlis perkahwinan. Sebagai contoh, kesemua 25 responden bersetuju bahawa bakal pengantin lelaki perlu membawa hantaran seperti sirih, pinang, dan buah-buahan semasa mengunjungi rumah bakal pengantin perempuan buat pertama kali. Adat resam ini diamalkan sejak zaman nenek moyang lagi kerana adat ini dianggap dapat melahirkan hubungan baik antara kedua-dua belah bakal pengantin. Pernyataan ini mendapat tanda setuju kesemua responden dengan kadar peratus 100.

      Selain itu, berdasarkan penilaian yang dibuat melalui soal selidik oleh pengkaji di Taman Kelubi Damai, didapati bahawa kesemua responden menyetujui dengan pernyataan wakil pengantin lelaki perlu membawa hantaran dalam jumlah bilangan yang ganjil semasa menghadiri upacara ikat janji atau dikenali sebagai “niccayam”. Pernyataan ini mendapat tanda setuju kesemua responden dengan kadar peratus 100. Adat resam ini membawa maksud bahawa kesemua rancangan dan majlis perkahwinan akan berjalan lancar jika ianya diamalkan.

      Di samping itu, berdasarkan penilaian yang dibuat melalui soal selidik di Taman Kelubi Damai, didapati bahawa seramai 20 responden bersamaan 80 peratus dari penduduk kawasan kajian bersetuju dengan pernyataan bertukar-tukar kalungan ‘malai’ di antara kedua-dua bakal pengantin itu penting dalam upacara “niccayam”. Manakala, seramai 5 responden bersamaan 20 peratus tidak bersetuju dengan pernyataan ini kerana mereka berasa bahawa pertukaran kalungan ‘malai’ dapat dilakukan dalam majlis perkahwinan. Pertukarang kalungan ‘malai’ membawa maksud kedua-dua bakal pengantin sudah bersetuju untuk menjadi pasangan masing-masing.
      Selain itu, berdasarkan penilaian yang dibuat melalui soal selidik di kawasan kajian, didapati bahawa seramai 17 orang responden bersamaan 68 peratus tidak bersetuju dangan pernyataan memainkan alat muzik tradisional seperti ‘nataswaram’ dan ‘melam’ dalam upacara  “parisam” sebagai satu aktiviti yang wajib untuk dilakukan. Manakala hanya 8 orang responden bersamaan 32 peratus bersetuju dengan pernyataan ini. Adat resam memainkan alat muzik semasa upacara “parisam” tidak begitu diberi keutamaan kerana  ianya banyak melibatkan perbelanjaan. Jadi, hanya masyarakat yang terdiri daripada golongan sederhana kaya dan senang sahaja akan melakukannya dalam majlis perkahwinan keluarga mereka. Ramai responden berpendapat bahawa masyarakat India dapat mengurangkan perbelanjaan sekiranya mereka tidak memainkan alat muzik semasa mengadakan upacara “parisam”.

      Seterusnya, berdasarkan penilaian yang dibuat melalui dapatan soal selidik di Taman Kelubi Damai, didapati bahawa kesemua 25 orang responden bersetuju dengan pernyataan pihak pengantin lelaki boleh memberi kumkum, sirih, dan pinang kepada pembuat ‘thaali’. Pernyataan ini mendapat tanda setuju daripada kesemua responden dengan kadar peratus 100. Adat resam ini diamalkan sejak dulu lagi dalam kalangan nenek moyang masyarakat India kerana perlakuan ini dianggap sebagai tanda hormat dan berterima kasih kepada pembuat ‘thaali’ kerana beliau telah melakukan satu kerja yang mulia dengan membantu menyatukan dua insan dalam alam perkahwinan.

      Secara keseluruhanya, pengkaji mendapati semua adat dalam majlis perkahwinan masih diamalkan oleh masyarakat di Taman Kelubi Damai dan objektif pengkaji tercapai untuk memperkenalkan semula adat perkahwinan. Pegangan masyarakat India terhadap adat resam dalam majlis perkahwinan masih utuh lagi bagi mewarisi adat yang dilakukan sejak turun temurun.

Jadual 7 : Kepentingan mengekalkan adat resam dalam majlis perkahwinan masyarakat India.


Kepentingan mengekalkan adat resam dalam majlis perkahwinan India

Tidak Penting

Penting

Sangat Penting
Bilangan
(responden)
Peratus
(%)
Bilangan
(responden)
Peratus
(%)
Bilangan
(responden)
Peratus
(%)
1.Bakal pengantin lelaki mengunjungi rumah bakal pengantin perempuan sebelum perkahwinan.


2


8


12


48


11


44
2.’Pen paarthal’ bertujuan untuk mengetahui latar belakang pakal pengantin perempuan dan bakal pengantin lelaki.


3


12


-


-


22


88
3.Menyapu serbuk kunyit atau ‘manjal’ pada kad jemputan perkahwinan.

-

-

12

48

13

52
4.Penilikan keserasian atau ‘thirumanam poruttam paarthal’ penting untuk dilakukan sebelum perkahwinan.


2


8


6


24


17


68
5.Masa baik ditilik sebelum mengadakan majlis perkahwinan.

-

-

-

-

25

100

Jadual di atas menunjukkan kepentingan amalan adat resam dalam majlis perkahwinan masyarakat India di Taman Kelubi Damai. Berdasarkan pemerhatian yang dilakukan oleh pengkaji, didapati bahawa kesemua adat resam mempunyai keistimewaan dan kepentingannya masing-masing. Daripada temu bual secara tidak formal dengan beberapa penduduk dan responden kajian, didapati bahawa mereka amat gembira dan senang hati semasa menganjurkan dan mengadakan upacara-upacara keagamaan perkahwinan.

      Seterusnya, berdasarkan penilaian yang dibuat melalui soal selidik oleh pengkaji, mendapati bahawa seramai 23 bersamaan 92 peratus bersetuju dengan pernyataan pengantin lelaki perlu mengunjungi rumah pengantin perempuan sebelum majlis perkahwinan walau sekalipun. Daripada temu bual secara tidak formal dengan penduduk di Taman Kelubi Damai, didapati bahawa kebanyakkan berpendapat bahawa pasangan bakal pengantin perlu mengenali satu sama lain agar mereka dapat memahami satu sama lain dengan lebih baik dan ianya akan merapatkan lagi perhubungan mereka kelak. Namun, sebilangan responden tidak begitu bersetuju dengan pernyataan ini disebabkan mereka berpendapat pasangan bakal pengantin boleh mengenali antara satu sama lain selepas perkahwinan dilangsungkan.

      Berdasarkan penilaian yang dibuat melalui soal selidik, pengkaji mendapati bahawa adat resam “pen paarthal” atau dikenali sebagai berjumpa bakal pengantin adalah bertujuan untuk mengenali latar belakang bakal pengantin perempuan. Seramai 22 orang responden bersamaan 88 peratus bersetuju dengan pernyataan ini manakala seramai 3 orang responden bersamaan 12 peratus  tidak begitu bersetuju dengan pernyataan ini. Daripada temu bual secara tidak rasmi dengan sekumpulan penduduk kawasan kajian, pengkaji mendapati bahawa ramai yang berpendapat upacara ‘pen paarthal’ membantu rombongan pengantin lelaki untuk lebih mengenali keluarga serta latar belakang seseorang bakal pengantin itu. Jadi, upacara ini masih diamalkan hingga hari ini oleh penduduk Taman Kelubi Damai demi mencari bakal pengantin perempuan yang soleha.

      Selain itu, berdasarkan penilaian yang dibuat melalui soal selidik pengkaji mendapati bahawa adat resam menyapu serbuk kunyit atau “manjal” pada permukaan kad jemputan perkahwinan itu penting untuk dilakukan dalam majlis perkahwinan masyarakat India.

        Seramai 25 orang responden iaitu bersamaan 100 peratus bersetuju bahawa amalan ini dilakukan kerana ianya tanda perasaan bahagia dan keamanan serta keindahan. Jadi, penyapuan serbuk kunyit pada permukaan kad perkahwinan menunjukkan sesebuah majlis perkahwinan itu akan berjalan lancar dan pasangan pengantin akan sentiasa bersama hingga akhir hayat.

      Di samping itu, berdasarkan penilaian yang dibuat melalui soal selidik oleh pengkaji, didapati bahawa upacara penilikan keserasian kedua-dua bakal pengantin atau dikenali sebagai “thirumanam poruttam paarthal” itu sangat penting. Hampir kesemua responden bersetuju dengan pernyataan ini. Seramai 17 orang responden bersamaan 68 peratus sangat bersetuju dan 6 orang responden bersetuju dan 2 orang responden tidak begitu bersetuju dengan pernyataan ini. Daripada temu bual tidak formal dengan beberapa penduduk Taman Kelubi Damai, didapat bahawa ramai yang berpendapat penilikan keserasian kedua-dua bakal pengantin sangat penting untuk memastikan rumahtangga mereka tidak menghadapi sebarang masalah kelak. Penilikan keserasian ini dilakukan untuk mengetahui kefahaman bakal pengantin dalam alam perkahwinan mereka kelak.

      Justeru, berdasarkan penilaian yang dibuat melalui soal selidik di kawasan kajian, didapati bahawa kesemua 25 orang responden bersetuju dengan pernyataan masa baik ditilik sebelum majlis perkahwinan diadakan adalah sangat penting. Masa baik ditilik sebelum melangsungkan sebuah majlis perkahwinan adalah bertujuan untuk memastikan tiada perkara yang tidak diingini atau buruk berlaku semasa majlis perkahwinan dijalankan. Ianya juga dilakukan untuk memastikan alam perkahwinan bakal pengantin penuh dengan kebahagiaan dan kegembiraan sepanjang hayat.

      Akhir sekali, berdasarkan penilaian yang dibuat melalui dapatan soal selidik, kesemua responden bersetuju dengan pernyataan segala adat resam perlu dikekalkan dalam majlis perkahwinan agar dikenali generasi akan datang. Adat resam juga perlu dikekalkan agar identity bangsa terjamin dan dijaga sepanjang masa.

9.A. RUMUSAN

      Kajian ini mengemukakan data bagi memenuhi objektif kajian. Bahagian ini akan merumuskan hasil dapatan kajian.

9.1 Jenis-jenis adat resam dalam majlis perkahwinan masyarakat India di Taman Kelubi Damai, Jasin.

      Dapatan kajian menunjukkan bahawa kebanyakkan penduduk di Taman Kelubi Damai masih mengamalkan semua jenis-jenis adat perkahwinan dalam majlis perkahwinan masyarakat India. Antara adat yang masih diamalkan adalah adat merisik, meminang, bertunang, ikat janji, parisam, dan mukuurtta kaal. Adat ini masih diamalkan walaupun sudah bertahun-tahun diwarisi oleh masyarakat India.

9.2 Kepentingan mengekalkan adat resam dalam majlis perkahwinan masyarakat India di Taman Kelubi Damai, Jasin.

      Dapatan kajian juga mendapati bahawa penduduk di Taman Kelubi Damai ini memperoleh pelbagai faedah dan kesan positif melalui amalan adat resam perkahwinan yang mereka amalkan. Menurut soal selidik yang telah dijalankan, masyarakat berpendapat bahawa perkahwinan secara sederhana akan mengurangkan pembaziran serta kos perkahwinan. Pembaziran berlaku apabila sesuatu majlis perkahwinan diadakan secara besar-besaran yang mana boleh menelan perbelanjaan sehingga berpuluhan ribu. Contohnya, ramai penduduk Taman Kelubi Damai tidak begitu bersetuju dengan pernyataan penyediaan alat-alat muzik seperti ‘nataswaram’ dan ‘melam’ itu wajib untuk dimainkan semasa upacara ‘parisam’.

      Seterusnya, penduduk Taman Kelubi Damai juga bersetuju bahawa pelbagai jenis adat resam perlu dilalui sebelum mengadakan sesuatu majlis perkahwinan. Pertama sekali, ibu bapa si lelaki perlu berjumpa dengan ibu bapa si perempuan untuk menanyakan pendapat mereka dan persetujuan mereka terhadap perkahwinan ini. Sekiranya, ibu bapa si perempuan bersetuju dan ibu bapa si lelaki berkenaan dengan pilihan anak lelaki mereka, maka mereka boleh mengadakan perbincangan antara keluarga bagi membincangkan tarikh pertunangan dan perkahwinan yang akan diadakan. Semasa majlis pertunangan diadakan, keluarga kedua-dua belah pengantin akan membincang mengenai perbelanjaan majlis perkahwinan dan penghantaran dulang yang digelar ‘seer’.

      Bukan itu sahaja, kebanyakan penduduk Taman Kelubi Damai yang dipilh menjadi responden kajian ini, bersetuju bahawa ‘thirumanam poruttam paarthal’ atau dikenali sebagai penilikan keserasian bakal pengantin  itu perlu dan wajib untuk dilakukan sebelum majlis pekahwinan. Ini adalah kerana keserasaian antara kedua-dua pengantin itu penting untuk memastikan alam perkahwinan mereka kelak bahagia dan sentiasa harmoni. Penilikan keserasian pengantin juga bertujuan untuk memastikan hubungan suami isteri mereka kekal hingga ke akhir hayat.

      Selain itu, kebanyakkan responden bersetuju dengan pernyataan mengadakan perkahwinan sederhana bagi mengurangkan beban keluarga kedua-dua pengantin. Responden juga berpendapat bahawa segala perbelanjaan majlis perkahwinan perlu dikongsi oleh kedua-dua belah keluarga pengantin bagi memudahkan majlis perkahwinan berjalan lancar. Akhir sekali, kebanyakkan responden berpendapat  majlis perkahwinan perlu diadakan secara kecil-kecilan untuk mengelak pembaziran tetapi cukup hanya majlis kecil yang penuh bermakna kerana majlis perkahwinan hanya sekali seumur hidup bagi yang kurang berkemampuan.

9.B. KESIMPULAN

      Hasil daripada kajian, didapati masyarakat India di Taman Kelubi Damai berada di tahap yang sempurna dan teratur dari segi amalan yang dijalankan semasa majlis perkahwinan di taman ini. Kebanyakkan penduduk yang berbangsa India di kawasan perumahan ini, memberi keutamaan kepada segala adat resam semasa melangsungkan majlis perkahwinan.

       Kepentingan utama pengamalan adat resam dalam majlis perkahwinan India adalah bagi mewarisi adat yang diamalkan sejak dahulu lagi. Hal ini kerana, penduduk Taman Kelubi Damai mempunyai pelbagai adat dalam sesebuah perkahwinan yang dijalankan. Jika generasi muda zaman sekarang mengamalkan segala adat resam yang telah menjadi kebiasaan nenek moyang mereka, maka adat resam masyarakat India dapat dikekalkan sampai bila-bila.

10. RUJUKAN

Cikgu karthik(2015).cikgukarthik.blogspot.Dicapai pada Februari 28,2015 , dari

Wikipedia(2012).wikipedia.org.Dicapai pada Mac,17,2015 , dari

Sejarah-history(2010).blogspot.com.Dicapai pada Februari 28,2015 , dari

Adat Dalam  Masyarakat Malaysia Dan Kepentingannya.Dicapai pada Mac 12,2015 , dari

Adat Perkahwinan Kaum India Di Malaysia.Dicapai pada Mac 12,2015 , dari

Masyarakat India.Dicapai pada Mac 23,2015 , dari

Perkahwinan Hindu.Dicapai pada April 1,2015 , dari

Siri Adat dan Budaya Kaum Utama Malaysia.Dicapai pada April 2,2015 , dari

Maruwiah Ahmat, Siri Adat Dan Budaya Kaum Utama : India,Penerbit GOODWILL PUBLICATIONS (001671150-P),2013,hlm 34

11. LAMPIRAN


#sertakan gambar-gambar yang berkaitan dengan tajuk anda sebagai bukti anda membuat kerja kursus ini! 

No comments:

Post a Comment